Pages - Menu

Setahun sudah saya berhijab. Alhamdulillah.

Hello pembaca kesayangan,

Assalamualaikum. Hari ini 18hb November 2020, hari yang sangat istimewa buat Misz-ella. 


Kali pertama Misz-ella mengenakan hijab ataupun bertudung adalah pada 17hb November 2019 iaitu semasa majlis Asmaul Husna di rumah sahabat baik saya, Puan Sri Nisa. Berbekalkan apa yang ada di dalam almari je, Misz-ella pakai baju ber 'hoodie' lepas tu Misz-ella padankan dengan headband dan shawl merah yang sememangnya dah lama Misz-ella beli.

Ye. Itulah kali pertama Misz-ella bertudung lengkap dan selepas itu, Misz-ella tidak menoleh lagi. 


Cukup setahun. Walau masih belum sempurna, saya cuba. Saya tetap cuba. Yang ini adalah long shawl yang Misz-ella gayakan seperti pembaca berita, Hawarizwana. Kemas, kan.


Yang ni pulak adalah tudung instant yang dihadiahkan oleh seorang kawan baik. Paling mudah dan cepat nak pakai. Paling best tak perlu di 'iron' pun.


Lagi shawl blink-blink (sama macam shawl merah yang di atas tu). Sebenarnya koleksi shawl jenis ni paling banyak dalam simpanan Misz-ella.



Keinginan untuk berhijab itu hadir dengan sendirinya, dari hati. Bermula dari hasrat untuk mengerjakan Umrah, hati Misz-ella terdetik untuk berhijab. Tapi masa tu, masih berbelah bagi. Masih sebut 'tapi camana ye? iman aku belum kuat lagi' malah tiap kali mama dan kakak saya nasihatkan Misz-ella untuk berhijab atau bertudung, selalunya Misz-ella akan jawab .. Iman kakchik belum kuat lagi. Mama doakanlah kakchik ye. dan aku rasa doa-doa mereka dimakbulkan Allah.

Scarf sutera dihadiahkan oleh adik ipar Misz-ella. Cantik, lembut dan sangat selesa.

Masa tu kali pertama nak pergi Umrah, macam-macam perasaan ada, nervous, risau, excited. Bila tengok diri sendiri, terlalu banyak kekurangan dan kelemahan .. layak kah aku menjadi tetamu Allah? Dalam waktu yang sama, ada sedikit perasaan tertekan .. aku ni banyak dosa. Umur dah 46 tahun tapi masih berskirt pendek, masih tayang rambut bermacam fesyen dan bertukar warna, dan timbul satu lagi pertanyaan .. macamana kalau balik dari Umrah ni aku masih tak bertudung? Bagaimanakah penerimaan masyarakat? 


Long shawl Bokitta Selesa sangat shawl ni. Tak perlu diiron.

Walaupun perasaan bercampur aduk tapi jauh di sudut hati keinginan untuk bertudung tetap ada, maka Misz-ella mula pasang niat .. Sepanjang 14 hari mengerjakan umrah nanti, Misz-ella akan bertudung. Misz-ella berdoa semoga Allah permudahkan semua urusan dan Misz-ella tak sakit kepala sepanjang di sana supaya Misz-ella boleh kekal bertudung bila pulang ke Malaysia nanti dan niat tu Misz-ella sampaikan ke kakak Misz-ella, KY. 

 

Asalkan tudung tu selesa, senang diurus, saya OK je.

Bila Misz-ella suarakan pada KY, dia bagi cadangan .. apa kata kau mula pakai dari sekarang? Supaya bila di sana nanti, kau tak kekok? Bila dengar pendapat KY tu, Misz-ella terfikir .. betul jugak. Lalu Misz-ella pasang niat, mahu cuba bertudung.



Dari hasrat nak cuba dulu, segala-galanya berubah apabila visa Umrah Misz-ella diluluskan. Ya Allah masa ni berjuraian airmata keluar .. sebak, terharu kerana meskipun saya banyak dosa, tak patuh pada perintah Allah antaranya bertudung dan solat pun sentiasa tinggal-tinggal, tapi Allah tetap sayang saya, tetap terima saya menjadi tetamuNya. Allah maha baik. Allah maha penyayang *I cried cried and cried*



Ketika itulah hati saya nekad .. Saya mahu berubah menjadi lebih baik. Saya tak mau sia-siakan kasih sayang Allah, saya tak mau penerimaan Allah untuk menjadi tetamuNya ini sia-sia. Saya mau jadi hambaNya yang tau bersyukur. 


Long shawl sutera yang dilukis tangan, dibuat khas oleh CT Canting. 

Dan bila saya kenangkan balik perjalanan hidup saya, ianya bukanlah mudah. Setiap detik yang saya lalui, saya harungi bertemankan kasih sayang Allah, pimpinan Allah. Bukan mudah menjadi seorang yang bernama Norzaila. Ketika saya menghadapi masalah besar beberapa tahun yang lalu, saya memilih untuk tidak mengadu pada sesiapa meskipun saya mempunyai keluarga yang sangat memahami dan saling menyayangi. 

Saya pilih untuk harungi detik-detik itu sendirian kerana saya mau faham apakah maksud pasrah, saya mau rasa perasaan redha dan saya mahu selami sendiri apakah rasanya bila kita berserah pada Allah. Selama ini Allah sentiasa ada, menyayangi saya, memimpin hidup saya *sumpah aku menangis menulis coretan ini* Jatuh bangun, suka duka sebuah kehidupan, semuanya saya lalui bertemankan Dia. Hanya Dia.

Kalaulah Allah tak pimpin hidup saya, entah dimana lah saya berada sekarang. Mengingati detik-detik lalu buat saya bagai tersedar dari sebuah mimpi .. Ya Allah selama ini Kau sayang aku, Kau pimpin hidupku walhal aku bukanlah hambaMu yang baik. Aku selalu leka, selalu lalai menuruti perintahMu.


Mulai dari itu, saya nekad dan ikhlaskan hati saya untuk berubah. Bila sesuatu yang dibuat itu dengan ikhlas, saya tak rindu skirt pendek, seluar pendek dan sebagainya. Malah kini dalam doa saya, saya sering meminta .. 

Ya Allah aku telah merasa akan kasih sayang Mu.
Aku telah rasa bagaimana Kau pimpin hidupku.
Ya Allah aku bersyukur atas setiap rahmat Mu. 
Teruslah Kau pimpin hidupku Ya Allah.
Kerana aku amat lemah, tiada daya aku tanpa Mu.
Berdirinya aku hari ini kerana Mu.
Melangkah kaki ku hari ini kerana Mu.
 Dan tenangnya aku harini kerana Mu.
Segala-galanya kerana Mu Ya Allah.

Saya jugak turut berdoa agar Allah kuatkan hati saya, teguhkan pendirian saya dan kukuhkan iman saya. Saya berdoa agar saya istiqomah. Saya minta Allah dekatkan saya dengan kebaikan dan jauhkan saya dari kejahatan.

Saya faham yang berhijab bukanlah ukuran tinggi atau tidak iman seorang Muslim. Berhijab atau bertudung tak semestinya kita alim tapi sekurang-kurangnya saya sudah selangkah ke hadapan dalam menuruti perintah Allah SWT. Ye betul, masih belum sempurna cara saya berhijab tapi saya tetap cuba dan akan sentiasa memperbaiki diri hari demi hari.

Antara dugaan yang saya alami selepas berhijab adalah .. Kehilangan kawan-kawan. Mungkin diaorang rasa saya kolot sebab berhijab dan tak layak jadi kawan diaorang kot. Tak pe lah. Saya redha.

Cukup setahun hari ini saya berhijrah. Ya Allah Terima kasih atas segala rahmat dan barakah Mu. Semoga Allah SWT bantu aku, pimpin aku agar aku sentiasa berada di landasan yang benar. Amin.








1 comment:

  1. alhamdulillah
    I'm happy for u :) moga2 yg baik2 ajer utk miz ella

    ReplyDelete