Pages - Menu

Hidangan Melayu secara 'Fine Dining, di Restoran Bunga Emas, Royal Chulan Kuala Lumpur

Hello pembaca budiman,

Pernah terfikir untuk menikmati hidangan tradisi Melayu asli secara 'fine dining' di pusat bandar dalam persekitaran hotel 5 bintang?



Royale Chulan Kuala Lumpur memperkenalkan Restoran Bunga Emas, sebuah restoran mewah yang pertama di pusat bandar yang lokasinya terletak di Lantai 1, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.



Dengan keluasan lantai sekitar 9,000 kaki persegi, Restoran Bunga Emas boleh memuatkan 100 orang dalam suatu masa.

Susun atur Restoran Bunga Emas ini dibataskan dengan panel dinding yang membenarkan pencahayaan semula jadi menembus ke dalam. Warna rona natural digunakan, membangkitkan suasana redup dan nyaman serta mewah. Restoran Bunga Emas sentiasa menjadi pilihan syarikat korporat dan individu yang mahu menjamu selera hidangan tradisi Melayu asli secara 'fine dining'




Restoran Bunga Emas turut menyediakan 2 Bilik Bersila yang di tata hias dengan meja separa rendah, manakala kusyen mewah dijadikan alas duduk bersila yang bakal memberi keselesaan kepada tetamu yang ingin menjamu selera cara tradisi Melayu ini.



Kali pertama ke Restoran Bunga Emas, Misz-ella terpesona dengan hiasan di sini. Bersesuaian dengan namanya, motif serta rona emas dipilih untuk hiasan siling dan dinding. Cantik!



Turut disediakan ialah bilik-bilik peribadi yang dikhaskan buat mereka yang mahukan suasana yang lebih intim tatkala menikmati hidangan.



Bunga Emas menyediakan hidangan tradisi Melayu asli yang disediakan mengikut resepi turun temurun dari generasi dulu hingga kini bagi mengekalkan keunikan rasa hidangan tersebut.


Menurut Chef Hairulnizam yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang masakan tradisi Melayu asli, antara menu kegemaran pelanggan di sini termasuklah Ikan Pais Kelapa, Rendang Daging, Ayamg Gulung Kurma Merah, Otak-Otak, Sup Ketam, Gulai Itik Serati, Ayam Masak Lemak Nangka, Siakap Tiga Rasa, Jeruk Amra, Sup Ayam Berempah, Udang Rempah Ratus dan Pucuk Paku Goreng. Manakala bagi hidangan pemanis mulut pula, Pulut Hitam dan Ciku Gulung sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

Hummm .. teruja pulak Misz-ella dengan penerangan Chef Hairulnizam. Jom tengok apa yang Misz-ella dan rakan-rakan cuba di Restoran Bunga Emas ini.


Pembuka Selera/Appetizer ~ Kekapis Jeruk Amra 
Hidangan pembuka selera yang menggunakan kekapis sebagai bahan utamanya manakala ulam pegaga, ulam raja disertakan dengan sambal mangga dilengkapkan dengan  Jamaian Plum Sauce. Menarik dan sangat membuka selera.

Sup/Soup ~ Sup Ayam
Sup Ayam yang dimasak menggunakan rempah ratus Melayu dan disertakan dengan lobak merah, kentang dan suhun. Sangat ringan, tidak terlalu berempah atau pekat tetapi terasa rempah ratusnya .. cukup untuk membangkitkan selera kita sebelum kita ke hidangan seterusnya ..



Antara hidangan utama/main course yang boleh didapati di dalam Menu ~ Ayam Masak Lemak Nangka, Udang Rempah Ratus, Rendang Daging dan Pucuk Paku.

Juadah-juadah enak di Restoran Bunga Emas ini boleh dinikmati samada secara 'A La Carte' atau Set Menu. Set Menu ditukar setiap minggu bergantung kepada Promosi Bulanan dan harga bermula dari RM130 nett seorang (minimum 2 orang)


Ayam Masak Lemak Nangka
Menggunakan 'boneless chicken', masakan kegemaran masyarakat Melayu ini cukup lemak dan sangat lembut nangka mudanya. Tidak pedas, mungkin bagi disesuaikan dengan selera majoriti pelanggan yang berkunjung ke sini.


Udang Rempah Ratus
Udang digoreng terlebih dahulu dan dimasak bersama santan dan susu cair. Kata Chef, juga dikenali dengan nama 'Udang Masala'. Sedap!


Rendang Daging
Persis seperti masakan bonda tercinta, dagingnya sangat lembut dan rempah ratusnya lengkap. Secukup rasa.


Pucuk Paku Goreng Cili
Pucuk Paku yang digoreng dengan cili. Ringkas tapi cukup untuk melengkapkan hidangan kami di sini. 


Pemanis mulut/Dessert ~ Pulut Hitam
Yang ini sangat menarik .. Pulut hitam yang dimasak dengan gula melaka dan dihidang bersama susu cair dicampur dengan santan dan kepingan badam.

Bila dipecahkan seperti ini, mirip seperti makan Bubur Pulut Hitam. Tidak terlalu manis dan tidak terlalu berlemak. Enak dan secukup rasa.


Misz-ella dan rakan-rakan bersama Chef Hairulnizam

Terima Kasih kepada Royale Chulan Kuala Lumpur kerana menjemput Misz-ella untuk merasai pengalaman menjamu selera di Restoran Bunga Emas ini. Satu pengalaman yang sangat menarik dan dalam hati dah berniat 'mahu datang lagi'

Restoran Bunga Emas dibuka setiap hari pada waktu makan tengahari (12:00 tengahari hingga 2:30 petang) serta makan malam (6:30 petang hingga 10 malam). Buat mereka yang ingin mencuba pengalaman menikmati hidangan tradisi Melayu secara 'fine dining' di sini, sila hubungi Restoran Bunga Emas di talian 03-2688 9612.


1 comment: