Pages - Menu

Ekpresi Media Kenyir 2019 - Trekking ke Pokok Melunak dan Gua Bewah

Hello pembaca kesayangan,

Kali ini Misz-ella nak sambung kisah Bercinta dengan alam seperti yang Misz-ella war-warkan sebelum ini. Tasik Kenyir, bukanlah asing pada Misz-ella kerana pernah beberapa kali ke sini tetapi bila dijemput untuk sertai trip Ekspresi Media 2019 ke Tasik Kenyir ini oleh pihak Tourism Malaysia, hati Misz-ella tetap teruja kerana Tasik Kenyir sentiasa dekat di hati.


Kalau masih ada yang belum tau tentang kisah Tasik Kenyir, mari Misz-ella nak cerita. Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Tasik Kenyir terhasil daripada pembinaan Empangan Jenagor, iaitu empangan hidro-elektrik terbesar di Asia Tenggara yang siap dibina sepenuhnya pada tahun 1986 dengan tujuan untuk menjana kuasa elektrik bagi penduduk Terengganu khususnya dan negara, amnya. 

Tasik Kenyir merupakan kawasan tadahan air yang sangat besar iaitu seluas 370km (lebih besar dari Singapura). Terdapat beratus-ratus sungai yang mengalir ke Tasik Kenyir. Tasik Kenyir dikelilingi oleh 340 gugusan pulau kecil. Kalau kita perhatikan betul-betul, ia sebenarnya adalah hutan belantara yang berada di atas paras air. Bermakna, akar-akar pokok hutan tersebut berada di dasar Tasik Kenyir dan ini berlaku selepas kawasan seluar 38,000 hektar di Tasik Kenyir ditenggelami air.



Sebelum wujudnya Tasik Kenyir, tempat ini dahulunya adalah penempatan penduduk Kampung Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terengganu, Kerbak dan Kampung Belimbing. 


Kedudukan kampung-kampung tersebut terlalu jauh di pedalaman. Hidup mereka terasing, bagai berada di dunia yang lain. Pengangkutan yang ada hanya lah jalan air. Kalau nak ke pekan Kuala Berang, mereka perlu naik sampan atau perahu. Dua hari baru sampai. Selepas mendarat, mereka perlu berjalan kaki setengah hari untuk sampai ke pekan. Penduduk kampung hidup bergantung kepada sumber alam semulajadi sehinggakan duit tiada nilai dan tidak berharga untuk mereka pada waktu itu. Penduduk-penduduk kampung tersebut dipindahkan seawal tahun 1950an iaitu sebelum Empangan Kenyir dibina. Kampung-kampung ini sekarang berada di dasar Tasik Kenyir kerana ditenggelami air semasa proses pembinaan Empangan Jenagor.

Menarik, kan sejarah awal Tasik Kenyir ni dan seharusnya berbanggalah kita kerana Malaysia ada Tasik Kenyir yang gah ini.


Gambar oleh Encik Muadz, Tourism Malaysia

OK .. jom kita sambung kisah trip Ekspresi Media 2019 ke Tasik Kenyir yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia ini. Walau dah banyak kali ke sini, Misz-ella tak pernah sekalipun menginap di resort, sebaliknya mesti menginap di Houseboat. Houseboat ni macam rumah lah, ada ruang tamu, bilik tidur, bilik air, dapur tetapi dia ada enjin. Ada beberapa port tertentu di mana houseboat akan parking dan disitu lah tempat kami bermalam. Kalau pergi di musim cuti, seronok tau sebab di dalam kegelapan malam tu, nampak lampu di sana sini *lampu dari houseboat lain lah you alls .. * langsung tak rasa sunyi.


Pemandangan dari tingkap bilik houseboat .. cantik, kan.


Yang paling best duduk di houseboat ni ialah bangun pagi, tenang rasa hati dan bahagia biji mata melihat hanya yang indah-indah belaka. Yang kedua best ialah tiada signal telekomunikasi di sesetengah tempat. Tak da line telefon, internet jauh sekali *ohhh .. heaven .. baru betul-betul bercuti, kan*


Gambar oleh Encik Muadz, Tourism Malaysia

Aktiviti pertama kami di Tasik Kenyir adalah menjejaki pokok melunak dengan menaiki speed boat. Setiap houseboat harus ada speed boat kerana ianya lebih laju .. kadang-kadang rasa macam naik roller coaster dibuatnya .. tinggal lagi tak terbalik je. 

Sesudah sessi taklimat, kami teruskan perjalanan untuk menjejaki pokok melunak yang terbesar di Malaysia ini.

Perjalanan sejauh 45 minit melalui denai-denai dan hutan ini agak santai. Trek nya tidak terlalu mencabar dan sesuai untuk semua peringkat umur.



Disebabkan hutan-hutan di Tasik Kenyir 'dara' maka segala biodiversiti nya masih terpelihara. Sepanjang perjalanan, kami temui kesan tapak kaki anak harimau

Dan kesan tapak kaki tapir


Gambar oleh Encik Muadz, Tourism Malaysia

Akhirnya, sampailah kami ke pokok melunak. Tahukah anda bahawa Malaysia ini bumi bertuah? Kedudukan Malaysia yang hampir dengan garisan Khatulistiwa membuatkan kita mendapat cahaya matahari hampir 365 hari setahun, waktu siang dan malam kita seimbang, kita dikelilingi lautan, ada air terjun, sungai dan Malaysia mempunyai hutan hujan tropika (rainforest) yang tertua di dunia, lebih tua dari Amazon. Hutan kita cantik, menjadi kawasan tadahan hujan dan pokok-pokok di dalam hutan ini menjadi canopy menapis karbon dari udara agar hanya oksigen yang bersih sahaja memasuki paru-paru kita? 

Besar, kan pokok ni. Pokok melunak ini dikatakan berusia hampir 314 tahun dengan ketinggian melebihi 100 kaki. Pokok melunak atau nama botaninya Pentace Hassk ini hidup di hutan hujan tropika dan dikatakan mempunyai nilai yang tinggi di dalam industri pembalakan.


Gambar oleh blogger Hans. Lawatilah blog dia di sini ye.

Terlalu besar ukurlilit pokok melunak ini iaitu bersamaan dengan 22 pemeluk orang dewasa. Buat pencinta alam macam Misz-ella, jumpa pokok yang besar dan cantik seperti ini adalah heaven ... al-maklumlah, saya memang suka masuk hutan dan sangat sayang kepada pokok-pokok anugerah Allah SWT kepada kita ni.

Gambar oleh Encik Muadz, Tourism Malaysia

Dah puas melihat dan bermesra dengan pokok melunak, kami teruskan perjalanan untuk ke Gua Bewah, gua batu kapur yang terdapat di negeri Terengganu. Tak jauh pun, bersebelahan dengan kawasan pokok melunak sahaja, tapi perlulah naik speed boat.

Misz-ella ingat lagi kali terakhir Misz-ella ke Tasik Kenyir, tak dapat masuk ke Gua Bewah ini kerana ditutup kepada orang awam. Kali ini 'berjodoh' saya dengan Gua Bewah gara-gara Tourism Malaysia. Alhamdulillah *happy gila*

Nak sampai ke pintu Gua Bewah harus menaiki hampir seratus anak tangga. Bila tengok dari bawah ... *fuhh semangat*

Tetapi langsung tidak membosankan kerana terdapat pelantar-pelantar rehat. Berhenti sekejap ambil nafas dan berfotoan ... cantik, kan Tasik Kenyir ni ... airnya biru kehijauan *tak puas mata memandang*

OK .. Misz-ella dah sampai ke pintu Gua Bewah *setelah penat mendaki ratusan anak tangga tu ..*

Satu perkara yang Misz-ella pelajari dari trip kali ini ialah, kalau ke Tasik Kenyir, guna lah servis Tour Guide yang bertauliah kerana banyak ilmu yang dapat kita ketahui dari mereka. Sebelah kiri Misz-ella ialah Encik Khairul Abu Bakar, tour guide tersohor di Kenyir yang pernah memenangi Anugerah The Best Nature Tourist Guide manakala sebelah kanan Misz-ella pulak ialah Kartunis Ujang yang komik-komik beliau saya baca dari umur belasan tahun lagi. Beli satu majalah Gila-Gila berebut lima beradik baca .. siap sorok bawah bantal lagi! Kartunis Ujang adalah antara orang yang mempopularkan Ekspedisi Memancing di Tasik Kenyir, iaitu seawal tahun 2009 iaitu tahun dimana pertandingan memancing yang pertama diadakan di Tasik Kenyir yang dianjurkan oleh beliau. Siapa nak masuk pertandingan memancing di Tasik Kenyir pada bulan November 2019 ni, bolehlah cari beliau di sini. 

Di dalam Gua Bewah ini ada galeri yang boleh kita lawati. Bewah bermaksud kenduri-kendara. Ini membuktikan bahawa tamadun awal manusia *zaman prasejarah* bermula di gua ini. Beberapa peralatan lama seperti pinggan mangkuk dijumpai di sini dan pada tahun 2009, rangka manusia tertua di negara kita telah dijumpai. Rangka yang dinamakan Bewah man itu dipercayai berusia 16,000 tahun dan kini disimpan di Muzium Terengganu. 

Perjalanan di dalam Gua Bewah agak mudah kerana terdapatnya soft board dan cahaya dari lampu solar yang dibina untuk kemudahan pengunjung.


Gambar oleh Encik Muadz, Tourism Malaysia

Usia geologi Gua Bewah ini dipercayai menghampiri 300 juta tahun. Kebanyakan stalagtit dan stalagmit di gua ini sudah matang dan tidak boleh membesar lagi kerana tiada lagi titisan yang mengandungi kalsium berkarbonat.

Tetapi ada juga yang masih boleh membesar seperti yang ini ..

Ini menarik kerana ia kelihatan seperti orang sedang Sujud *gambar dari FB Hidayah*

Antara yang boleh kita temui di dalam Gua Bewah ini adalah lumut bercahaya yang glow in the dark dan ketam comel. 


Dan kerana Tasik Kenyir sangat cantik, Misz-ella pun tak lepaskan peluang berfotoan disini.


Selepas itu, kami pun pulang ke kawasan Air Terjun Lasir dan bermalam di situ. Aktiviti petang itu adalah mandi manda di Air Terjun Lasir tapi Misz-ella tak pergi kerana sudah beberapa kali ke air terjun yang cantik itu.

Satu perkara yang Misz-ella suka nak kongsikan kepada pembaca semua adalah, keindahan alam semulajadi Tasik Kenyir sangat istimewa, datang berkali-kali pun tak jemu. Nanti Misz-ella kongsikan lagi kisah-kisah di Tasik Kenyir ye. You guys jangan lupa datang dan check it out!










No comments:

Post a Comment