Pages - Menu

Umrah 2019 - Ziarah luar di Kota Madinah

Hello lovely readers .. Assalamualaikum,


Semoga yang baik-baik sahaja buat pembaca kesayangan blog Dari Jari-Jari Halusku ini.

Misz-ella sambung lagi bahagian seterusnya pengalaman menunaikan Umrah bersama AM Berkat Travel & Tours pada hujung tahun 2019 yang lalu.



Hari ini ada aktiviti ziarah luar iaitu menziarahi beberapa lokasi bersejarah di luar kawasan Masjid Nabawi iaitu Masjid Quba, Masjid Qiblatain *lalu sahaja*, Jabal Uhud, makam para syuhada Uhud dan ladang kurma. Kesemua aktiviti ziarah di sini bermula sebaik sahaja selepas sarapan pagi dan berakhir sebelum solat Zohor. Kami semua menaiki VIP SAPTCO Express, iaitu bus penumpang berkategori premium yang ditempah khas oleh AM Berkat Travel & Tours untuk trip umrah ini. VIP SAPTCO Express yang kami naiki amat jarang digunakan oleh jemaah dari Malaysia dan kebiasaanya digunakan oleh jemaah-jemaah umrah dan Haji dari negara Eurasia seperti Turki. SAPTCO adalah syarikat pengangkutan terbesar di Arab Saudi yang mempunyai rangkaian perkhidmatan pengangkutan hingga ke Kuwait, United Arab Emirates, Bahrain, Qatar, Egypt, Jordan, Yemen dan Sudan.





Lokasi pertama ~ Masjid Quba'. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah. Kami telah dinasihatkan agar berwuduk dari bilik hotel kerana Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganjarannya adalah bersamaan dengan satu pahala umrah". Maka kami pun bersolat sunat dua rakaat di masjid ini.

Bergambar dengan Kak Midah, roommate saya yang baik hati, yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya selama di sini. Terima Kasih banyak-banyak Kak Midah. Hanya Allah SWT yang mampu membalas semua kebaikan kakak terhadap saya.





Selepas itu kami melalui Masjid Qiblatain dan seterusnya ke Bukit Uhud. Bukit Uhud adalah satu-satunya bukit di dunia ini yang akan masuk ke syurga kerana bukit ini adalah bukit kesayangan Rasulullah SAW. 



Disini, Ustaz Razis yang memimpin kami menceritakan tentang Perang Uhud yang tercetus pada tahun 625 Masihi. Ya Allah ... sayunya rasa hati mendengar kisah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam menyebarkan syiar Islam. Peperangan diantara tentera Quraisy dan Islam ini mendidik kita supaya mendengar arahan pemimpin kerana punca kekalahan tentera Islam adalah kerana pasukan pemanah Muslim yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW supaya kekal mempertahankan Bukit Uhud walau apa pun yang terjadi telah melanggar perintah tersebut.


Perang Uhud juga menyaksikan bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah Bin Abdul Muttalib terbunuh manakala baginda pula mengalami kecederaan luka pada muka, bibir , kedua-dua lutut , pipi dan patah giginya ketika terjatuh ke dalam perangkap yang digali oleh Abu Amar Al Rahab. Di sini jugalah terletaknya makam para syuhada yang terkorban semasa peperangan Uhud.


Jemaah AM Berkat Travel & Tours bergambar berlatarbelakangkan Bukit Uhud

Seriously, menitis airmata Misz-ella mendengar kisah perjuangan Rasulullah  SAW dan para sahabatnya di dalam perang Uhud ini. Sedih.


Destinasi terakhir ziarah luar kami adalah Ladang kurma - destinasi popular untuk jemaah berbelanja kurma, kekacang dan manisan. Sebelum sampai ke ladang kurma, kami perlu memasuki kompleks membeli belah dahulu dimana keadaan di dalam bangunan ini agak bising dan meriah dengan karenah penjual-penjual yang cuba menarik perhatian pembeli. Macam pasar borong you alls ... Kat sini kita boleh merasa pelbagai jenis kurma dengan percuma. Kalau you all tak nak pun, dia insist jugak kita rasa "Halal" 'Halal" kata dia ..



Seronok di ladang kurma ni. Kat belakang Misz-ella tu ada beberapa kumpulan jemaah yang menikmati teh sambil makan kurma di ladang kurma ini ..



Bersama Datuk Radzi. Seronok tengok pokok-pokok kurma ini yang besar-besar dan tinggi .. redup je kat sini.


Bersama Kak Nani Rostam

Ada pelbagai jenis kurma tetapi kurma yang paling popular dan paling dicari oleh jemaah adalah kurma Ajwa kerana ianya adalah kurma yang dipercayai menjadi kegemaran Rasulullah SAW. 

Kurma Ajwa pun ada pelbagai jenis dan datang dari tempat-tempat yang berbeza tetapi kurma Ajwa yang paling mahal adalah Ajwa yang ditanam di bumi Madinah sendiri. Rasulullah SAW semasa hayatnya dikatakan pernah menanam pokok kurma Ajwa sendiri iaitu berhampiran Masjid Quba' sekitar 14 abad yang lampau.

Kurma Ajwa unik, bersaiz sederhana serta kedutan pada kurma Ajwa lebih banyak berbanding kurma lain dan jika diteliti kedutan pada kulit kurma Ajwa membentuk kalimah Allah SWT.


Jemaah AM Berkat Travel & Tours di ladang kurma ..


Misz-ella sendiri borong 3 kilogram kurma Ajwa di sini tetapi agak hampa kerana sekembalinya ke Malaysia, Misz-ella dapati suku dari kurma yang dalam plastik tu agak kering dan tak berapa cantik. Tak pe lah .. mungkin dah tertulis rezeki Misz-ella begitu, kan.

Aktiviti ziarah luar berakhir separuh hari sahaja supaya para jemaah boleh kembali ke hotel untuk berehat dan beribadah. Maka kami pun pulanglah ke Rove Al-Madinah Hotel, makan tengahari dan rutin harian kami di kota suci Madinah ini berjalan seperti biasa.


Pada waktu malamnya, Datuk Radzi belanja kami makan di Asean Restaurant, Madinah yang menyajikan hidangan yang sangat mesra 'tummy' iaitu tomyam, ikan, sayur campur dan bermacam lagi. Alhamdulillah untuk segala yang baik hari ini. Terima Kasih kepada pembaca-pembaca yang membaca perkongsian saya. Jumpa lagi di blog post seterusnya, k. 

No comments:

Post a Comment