Featured Post

Jom Gaya Hidup Sihat ~ Makan dan Exercise

Another chapter of my exercise diary .. hidup Misz-ella camni la .. kalau tak kerja, exercise. Kalau tak kat Event kat Gym. Tu je la tempat...

Umrah 2019 - Dari Madinah ke Kota Suci Mekah. Raffles Makkah Palace Hotel.

Assalamualaikum pembaca kesayangan,

Misz-ella sambung lagi perkongsian menunaikan umrah pada penghujung tahun 2019. Menariknya pakej umrah bersama AM Berkat Travel & Tours ini adalah jadual aktiviti yang disusun berselang seli. Satu hari aktiviti bebas di mana jemaah boleh beribadah sepuas-puasnya manakala esok harinya pula adalah aktiviti berkumpulan seperti ziarah, keluar makan beramai-ramai dan sebagainya. 

Melalui pakej umrah AM Berkat Travel & Tours, para jemaah dibawa ke Madinah dahulu bagi menziarahi Rasulullah dan sahabatnya sambil beribadah di Masjid Nabawi. Ini bolehlah diibaratkan sebagai persediaan awal untuk mental dan fizikal atau boleh juga kita panggil 'warming up' supaya bila tiba di Mekah untuk menunaikan umrah, badan kita, minda kita sudah bersedia. Kita dah serasi dengan cuaca bumi para anbia yang sememangnya berbeza dari tempat kita, kita dah biasa berjalan kaki berulang alik ke masjid, kita sudah menjiwai kisah-kisah Rasulullah dan para sahabatnya dan akhirnya, kita sudah bersedia untuk menunaikan umrah. So hari terakhir di Madinah adalah hari perjalanan kami  ke Mekah untuk menunaikan umrah. Ya Allah .. excited, nervous .. semua perasaan ada masa ni. Hanya Allah SWT sahaja yang tau gelora di jiwa Misz-ella pada ketika itu.





Kami *misz-ella dan Kak Midah* ke tanah suci Mekah menaiki GMC, sebuah kenderaan mewah yang sangat selesa dan sentiasa menjadi pilihan VVIP. Kalau diikutkan, GMC tiada dalam fikiran kami pun tetapi dua malam sebelum bertolak ke Mekah, kawan-kawan kami dari Malaysia telah sampai ke Madinah *kawan kami ikut agensi umrah yang lain* menceritakan yang perjalanan mereka dari Mekah ke Madinah dengan menaiki bas memakan masa lebih dari tujuh jam. Bas tak boleh laju lagipun biasalah, banyak berhenti kerana satu bas pun dah 40 orang, kan. Maka kami berempat pun berbincang dan terkeluarlah perkataan GMC. Kata kak Nani, Beliau pernah survey. Kita hanya perlu tambah RM1,000 untuk pergi ke Mekah dengan GMC. Selepas berbincang, kami pun setuju untuk kongsi kos GMC *bahagi 4 orang*






Tapi pagi tu, Kak Nani cakap dia nak teman Intan naik bas sebab Intan sakit kaki *almaklumlah, hari sebelum tu kami naik Land cruiser Intan duduk di seat paling belakang *mungkin tak berapa selesa maka kaki dia pun sakit*





Maka akhirnya hanya Misz-ella dan Kak Midah sahajalah yang menaiki GMC bertemankan Datuk Radzi, Pengarah Urusan AM Berkat Travel & Tours. Pukul 11 pagi dari Rove Al-Madinah Hotel, kami berhenti untuk ber miqat atau berihram di Masjid Bir Ali. Di sini kami solat 2 rakaat dan berniat untuk menunaikan umrah. Tak jauh pun Masjid Bir Ali dari Kota Madinah, lebih kurang 10km sahaja.



Sebaik sahaja sudah dalam ihram *sudah berniat umrah* maka para jemaah tertakluk kepada syarat-syarat umrah. Untuk perempuan, tak boleh lagi nak berwangi-wangi, harus dan wajib menutup aurat melainkan muka dan tapak tangan.

Umrah dari segi bahasa bermaksud ziarah atau lebih tepat lagi ziarah Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Umrah tidak wajib tetapi sebaik kita berniat untuk melakukannya, maka kita dikehendaki mengikuti syarat-syarat atau 5 rukun umrah itu.

Rukun umrah ada 5 iaitu :-
Berniat - Sahaja aku menunaikan umrah dan berihram dengannya kerana Allah SWT.
Tawaf - berjalan mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan bermula dari Hajarul Aswad.
Saie - Berulang alik dari Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali
Bertahalul - bercukur atau menggunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut
Tertib - haruslah dilakukan satu persatu mengikut rukun.

Setelah berniat ihram, maka nervous Misz-ella semakin menjadi-jadi. Ya Allah .. aku nak tengok Kaabah, nak buat umrah buat pertama kali *dalam hati* sepanjang perjalanan kami bertalbiah.

Sebaik sampai ke tanah suci Mekah, kak Midah cakap itu .. itu  .. nampak tak? tu lah clock tower. oh ye? Hummm .. Misz-ella tak perasan lagi sebenarnya .. tak boleh bayangkan pun tempat tu macamana. Sebaik sampai, GMC turunkan kami di kawasan parking dan kami pun check-in di Raffles Makah Palace Hotel dan berehat seketika sebelum turun ke bawah untuk menunaikan umrah.




Sebaik turun ke dataran masjid dan memasuki kawasan masjid, barulah Misz-ella nampak Kaabah. Ya Allah .. begini rupanya Kaabah, macam tak percaya aku berada di sini. Taktau nak kata macamana perasaan itu .. gembira kah aku? nak kata sedih pun tidak .. lebih tepat lagi ialah rasa terharu, sebak, seakan tidak percaya kerana realitinya aku adalah salah seorang dari tetamuMu, Ya Allah. Misz-ella bertawaf mengelilingi Kaabah, memandang Kaabah tak berkelip, tak puas-puas. Di sudut Hajarul Aswad dimana para jemaah melambai .. terharunya rasa hati sampai bergenang airmata. Masa tawaf keliling Kaabah, hati Misz-ella kosong-kosongnya .. hanya ada Aku dan Dia. Orang ramai pun Misz-ella tak hirau, berasak-asak pun tak rasa apa kerana dalam hati hanya ingat Dia. Walaupun orang agak ramai, kami berjaya habiskan tawaf dalam masa 30 minit sahaja. Alhamdulillah. Syukur.


Selesai tawaf, kami naik ke tingkat atas untuk ber saei dengan menggunakan scooter. Untuk scooter, bayaran 50 Riyal dikenakan seorang. Tak apalah kita keluar duit, asalkan kita dapat sempurnakan umrah kita, kan. Tak salah ber scooter kerana Rasulullah pun pernah menunaikan umrah dengan menaiki unta. Begitulah perumpamaannya. Lagipun kita nak simpan tenaga untuk ibadah-ibadah yang lain, kita mahu ke masjid, kita nak buat tawaf sunat .. macam-macam kita nak buat di Mekah ini. Scooter tu tak laju pun, bawak pelan-pelan sambil baca doa.


Sebaik selesai saie, kami berhentikan scooter dan bertahalul iaitu menggunting 3 helai rambut. Lepas tu parking balik scooter di tempat yang disediakan. Alhamdulillah. Selesai. Ya Allah .. syukur sangat-sangat. 

Sekeping gambar buat kenangan hari tua. Terima Kasih Datuk Radzi kerana memimpin Misz-ella dan Kak Midah menunaikan umrah dari mula hingga akhir.


Dalam perjalanan balik ke hotel, berhenti di depan Clock Tower untuk bergambar. Pada pendapat Misz-ella, clock tower adalah lokasi paling strategik untuk didiami sepanjang mengerjakan umrah. Ini adalah kerana jaraknya yang sangat dekat dengan Masjidil Haram memudahkan kita untuk beribadah. 

Kehidupan di kota suci Mekah amat berbeza dengan kota Madinah. Kalau Madinah kota romantis yang buat hati kita sentiasa tenang dan bahagia, Misz-ella gelar Mekah a busy city kerana di sini kita hanya fikirkan ibadah. Kita tau kita berada di rumah Allah dan kita terpilih untuk menjadi salah seorang tetamuNya, so hati kita, fikiran kita dan fokus kita lain. 

Di sini, masing-masing mengejar masa kerana kita nak kejar ganjaran pahala bersolat di Masjidil Haram, tempat paling suci dalam dunia buat umat Islam. Kita nak buat tawaf sunat banyak-banyak, kita nak buat umrah, kita nak mengaji Al-Quran, kita nak bersedekah .. sebab tu, lokasi tempat tinggal kita di Mekah sangat penting.

Pilihlah hotel yang dekat dengan Masjidil Haram iaitu dalam kawasan clock tower. Kalau nak ke toilet pun, sempat balik ke hotel semula. Kalau bawak anak kecil pun, clock tower lah tempat yang paling selesa kerana kalau apa-apa hal, kita sempat balik ke hotel. Paling penting, kita boleh beribadah di Masjidil Haram tiap kali waktu solat kerana lokasinya yang dekat .. senang kita nak berulang alik.


Clock tower bersambung dengan Safwa Towers dan Zam Zam Tower. Tiga tingkat pertama adalah shopping complexs dan restoran-restoran. Ada banyak hotel di dalam bangunan clock tower ini dan kebanyakan lobi-lobi hotel tersebut bermula dari tingkat 5.


Bersama keluarga Datin Azizah selepas menunaikan umrah ke 2

Sepanjang berada di Mekah, Misz-ella sempat tunaikan umrah sebanyak 3 kali, satu kali tawaf sunat dan satu kali tawaf wida'. Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat.


Semasa umrah ke dua, sekali lagi Misz-ella ber saie dengan scooter kerana menemankan seorang anak autisme yang juga merupakan salah seorang jemaah AM Berkat Travel & Tours. Sepanjang ber saie, nak bagi dia cool down, Misz-ella ajak dia ber zikir. Ya Allah walaupun sebutannya tak berapa lancar tapi boleh difahami. 


I love human, regardless their age and condition *asalkan perangai baik*. Bersyukur diberi peluang untuk menyumbang sedikit tenaga dan berkongsi kasih sayang dengan adik ini. 

Selesai umrah ke dua hari dah hampir petang, kami makan beramai-ramai di Restoran D'Saji yang terletak di Safwa Towers. Dah mula rindu pada makanan Malaysia, kan.


RAFFLES MAKKAH PALACE HOTEL, CLOCK TOWER, MEKAH



Di Mekah, kami tinggal di satu unit suite di Raffles Makkah Palace Hotel. Misz-ella suka hotel ni. Keadaan di sini tenang. Hotel ini tidak terlalu sibuk dan tahap keselamatan di sini sangat-sangat bagus.



Cantik, kan


Di sini lah tempat kami bersantai ramai-ramai pada waktu malam selepas solat Isyak. Kalau di Mekah jangan lupa makan ayam goreng Al Baik, ala-ala ayam KFC tapi lebih sedap lagi. Jangan tanya Misz-ella beli di mana ye sebab Datuk Radzi yang belikan ayam goreng Al Baik ni untuk kami berempat makan di bilik. Terima Kasih Datuk Radzi kerana menjaga kami semua dengan baik. Dalam group kami ada jemaah yang sakit, AM Berkat Travel & Tours tolong uruskan Doktor datang ke bilik untuk merawat. Alhamdulillah, AM Berkat Travel & Tours ambil berat akan kebajikan jemaah-jemaahnya.


Satu suite mempunyai 2 bilik, 3 bilik air dan satu hall yang sangat selesa.  Serius cantik Raffles Makkah Palace Hotel ni. Semua kemudahan ada dan buah-buahan di refill setiap hari hinggakan kami sedekah balik buah-buahan ini kepada yang memerlukan pada hari terakhir kami di sini.

Dari suite kami boleh nampak Kaabah. Sesekali kami meninjau melihat keadaan di sana .. ramai orangkah? lengangkah?


Bilik ini Misz-ella kongsi bersama Kak Midah. Meskipun suite ini mempunyai dua bilik tetapi ada 3 bilik air. Satu lagi kat luar, untuk tetamu. Alhamdulillah kami berdua tidur tak lasak. Letak kepala, niat dan terus tidur supaya esok pagi kami terjaga pukul 4 pagi. Walaupun masjid dekat, pukul 4:45 kami dah gerak ke masjid. Tiap-tiap hari macamtu. Excited nak solat di masjid .. almaklumlah beribu batu kami datang dengan niat untuk beribadah, rugi tak rebut peluang buat pahala sebanyak mungkin di sini, kan.



Bilik air lengkap dengan bath tub dan tempat ber wuduk


Manakala bilik ber katil dua ini pula didiami oleh Kak Nani dan Intan. Selesa bilik ni dan dilengkapi dengan bilik air. Dari bilik ini pun boleh nampak Kaabah.


Walaupun Datuk Radzi dan Ustaz Hariz tinggal di hotel lain, tiap-tiap pagi beliau akan whatsapp kami dan sarapan pagi dengan kami.  Waktu sarapan pagi adalah waktu yang sangat ditunggu-tunggu .. kerana buffet breakfast di Raffles Makkah Palace Hotel ini sangat meriah .. macam-macam hidangan ada. Barakahnya tanah suci ini hingakan pulangnya ke Malaysia berat badan Misz-ella naik 2, 3 kilogram *saya redha*


Mengintai Masjidil Haram dari coffee house Raffles Makkah Palace Hotel. Meskipun kehidupan di kota suci Mekah berbeza dengan kehidupan di kota Madinah tapi sehingga hari ini, itulah kehidupan yang paling Misz-ella rindui .... masih menangis kerinduan, rindu pada hidup yang bagai dipimpin, rindu pada suara azan dari masjid, rindu pada suara imam yang memimpin solat, rindu pada hidup yang hanya ada aku dan Dia .. tiada dunia lain selain dari Dia *sobs .. sumpah aku menangis*

Perjalanan Misz-ella menunaikan umrah memberi impak yang sangat besar dalam hidup saya. Nanti Misz-ella akan kongsikan lagi tentang aktiviti-aktiviti kami di kota suci Mekah. Jumpa lagi di blog post seterusnya ye. Terima Kasih baca. 















2 comments:

ezy.fia said...

wahhh seronoknya.. terasa mcm sy ada sekali kat sana..
teruja sgt..

arap ade rezeki sy nk jejakkan kaki ke sana.. =')

Anonymous said...

mmg btl kak ella..mcm sy seminggu pulang da teringat2 rindu kt madinah/mekah..indahnya subuh disana dan setiap waktu berpusu ke masjid utk tunaikan solat berjemaah.menaip ni pun terasa sgt rindu :')