Featured Post

Jom Gaya Hidup Sihat ~ Makan dan Exercise

Another chapter of my exercise diary .. hidup Misz-ella camni la .. kalau tak kerja, exercise. Kalau tak kat Event kat Gym. Tu je la tempat...

Festival Seni Silat Melaka 2019 Meriah!

Hello pembaca kesayangan,



Baru-baru ini telah berlangsung Festival Seni Silat Melaka 2019 (FSSM2019) selama tiga hari berturut-turut anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN Melaka) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan semua agensi di bawahnya.

Misz-ella selalu teruja dengan program-program seni dan budaya seperti ini sebab seni budaya dan warisan Malaysia terlalu indah, berwarna warni dan sangat meriah.




Sepanjang 18 sehingga 20 Oktober 2019, perkarangan Kota A Famosa dimeriahkan dengan pelbagai program bertemakan “Selat Melaka, Warisan Nusantara” . FSSM2019 turut dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Bin Yaakob, dan YBhg Tan Sri Hajjah Norliza Rofli, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program berteraskan seni budaya, warisan, pelancongan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang mewakili negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung-pengunjung yang disajikan dengan pelbagai program menarik sepanjang FSSM2019 iaitu Persembahan Sisipan (Showcase) Warna-warni Selat Melaka, Pencungkilan Bakat Muda Selat Melaka, Pusat Transformasi Rakyat, Bazaar Citrarasa Inap Desa Selat Melaka dan Bazaar Selat Melaka : Seni Budaya dan Pelancongan, Sessi perkongsian Ilmiah dan Joget Lambak@Melaka.


MALAM GALA SELAT MELAKA 

Malam Gala Selat Melaka merupakan acara kemuncak dan perasmian FSSM 2019 dimana  Kerajaan Negeri Melaka juga turut meraikan Sambutan Hari Jadi Ke-81 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob. 



Ketibaan tetamu kehormat iaitu Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Bin Yaakob dan YBhg Tan Sri Norliza Rofli disambut meriah dengan menaiki beca-beca yang sangat sinonim dengan negeri Melaka dan diiringi oleh kereta lembu Kampung Tambak Bugis serta dimeriahkan lagi dengan paluan rebana oleh Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Melaka.





Malam Gala FSSM2019 mengetengahkan persembahan kebudayaan seperti dondang sayang, keindahan budaya seni berbahasa pantun serta persembahan muzik cak lempong, tari randai dan piring lambung yang diwakili oleh JKKN Negeri Sembilan dalam Segmen Kabar Berusik Negeri Sembilan. 

JKKN Johor pula menerusi Segmen Bayu Muara Maharani mempersembahkan kehebatan seni Ghazal, Kuda Kepang, Barongan dan Zapin yang turut disertai oleh Badan Seni Budaya dari Muar dan Batu Pahat dan penyanyi Rojer dengan permainan muzik gambusnya. 

Persembahan Warna warni Pelangi Dondang Sayang yang dijayakan oleh Kumpulan Tarian Singa dan Naga Wen Wei Melaka, Kumpulan Komuniti Chitty Kampung Gajah Berang, Melaka, Badan Kesenian Baba dan Nyonya Melaka (KEBAYA), Kumpulan Kesenian Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka, Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Persatuan Beca Warisan Melaka, Pengusaha Kereta Lembu Kampung Tambak Bugis, Melaka, Persatuan Teo Chew Melaka, Persatuan Tamil Melaka, Persatuan Bhangra Melaka, Pusat Warisan dan Kebudayaan Melayu Melaka (PERANTARA).

Selain dari itu, pelbagai pengisian menarik turut dipersembahkan kepada pengunjung sempena FSSM ini termasuklah :-

BAZAAR CITRARASA INAP DESA HOMESTAY 

Bazaar Citrarasa Inap Desa Homestay (Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka) diadakan dengan kerjasama Inap Desa Negeri Melaka menghimpunkan gabungan lapan (8) buah Inap Desa Negeri Melaka dengan hidangan kampung yang menyelerakan. Lapan (8) buah Inap Desa tersebut ialah :-

Kampung Morten yang menyajikan Melaka Nasi Lemak Kg Morten dan Air Barli
Kampung Alai yang mengetengahkan Rojak Melaka dan Air Herba Soda
Kampung Pulai yang mengetengahkan Asam Pedas Pari yang sangat terkenal di Melaka dan Cendol Kampung Tambak Paya yang menyediakan Nasi Ambeng dan ABC
Kampung Ayer Limau yang menyajikan Nasi, Masak Lemak Perut Rebung dan Asam Pedas Tulang
Kampung Sri Tanjung dengan Bihun Sup dan Laksa
Kampung Paya Lebar dengan Masak Lemak Daging Salai dan Sambal Kupang 
Kampung Melaka Pindah Masak Lemak Buah Machang dan Wajik 


BAZAAR SELAT MELAKA / ARTS, CULTURE & TOURISM BAZAAR 

Pelbagai produk, demonstrasi dan jualan barangan kraftangan oleh usahawan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka yang merangkumi usahawan hasil rimba, batik jenis ikat, celup dan pelangi, hasil produk dari tanah dan simen, tekstil, logam dan banyak lagi.

Jualan khat warisan Islam, pelbagai produk dari Persatuan Usahawan Seni Budaya Malaysia yang merangkumi produk spa, perkhidmatan spa, cenderamata, tanjak, busana Melayu, catan muka, alat solek dan tatarias serta alat muzik tradisional turut ada di Bazaar tersebut. 

Usahawan makanan muslim iaitu JALEN turut membuat Jualan Promosi, Minuman Percuma Dan Food Testing, Baucer Pembelian, Jualan Promosi, Demonstrasi Masakan serta pelbagai kuiz dan pertandingan. ASD Empire juga turut membuka kaunter alat solek dan tatarias. Aktiviti face painting turut ada. 

Jabatan Warisan Negara turut memaparkan pameran arkeologi untuk pengunjung merasai pendedahan cara-cara kajian arkeologi dan eskavasi cari gali bahan-bahan, artifak dan monument sejarah bagaikan ahli arkeologi. Urus Setia JKKN turut mengadakan pelbagai aktiviti di reruai pameran dengan Pertandingan Mewarna, Demonstrasi Permainan Tradisional, Musang Berjanggut, Kuiz Kebudayaan serta Pameran Fotografi “Syukor Khamis : Kampong Boy” Koleksi Karya Dallah Deen Photography.


RETRO AUTOSHOW 

Pameran Kereta Antik dan Vintaj oleh Big Sumo Autoshow Komuniti Malaysia turut diadakan pada 19 Oktober dari pagi hinggalah ke malam. Lebih dari 20 buah kereta vintaj dan antik ini berhimpun dan di pamerkan sepanjang Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka. 

PUSAT TRANSFORMASI RAKYAT PUSAT 

TRANSFORMASI RAKYAT pula menampilkan sebelas (11) agensi yang memberikan pelbagai khidmat rakyat. 

PENCUNGKILAN BAKAT MUDA SELAT MELAKA 

Lebih enam (6) pertandingan utama yang dipertaruhkan iaitu – Pertandingan Mini Lantai Cilik yang merupakan Pertandingan Tarian Rakyat Kreatif bagi Kategori Sekolah Rendah dan Medley Tarian Malaysia bagi Kategori Sekolah Menengah, Pertarungan Tari Joget & Zapin (TERBUKA), Pertandingan Bintang Dondang Sayang, Pertandingan Lukisan Potret “Tun Fatimah” Serikandi Melaka, Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden dan Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas.


SESI KEILMUAN SELAT MELAKA 

Sesi perkongsian ilmu Selat Melaka yang melibatkan beberapa acara antaranya seperti Sesi pembelajaran Gerak Asas Tari Joget & Zapin beramai-ramai dan Sesi Apa itu Puisi Rejang yang akan menampilkan Tokoh Seni Berbahasa Tuan Haji Rani Embi pada 18 Oktober 2019 (Jumaat) jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari di Dewan PERZIM, Galeri Muzium Rakyat, PERZIM.

JOGET LAMBAK@MELAKA 





Joget Lambak@Melaka adalah Majlis Penutup kepada FSSM2019 yang mana beberapa beberapa pertandingan akhir telah diadakan iaitu Pertarungan Joget & Zapin (bagi merebut Piala Pusingan Ketua Pengarah JKKN) dan Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden, Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas serta melancarkan kempen “I LOVE MALAYSIA” Siri Melaka di samping memeriahkan lagi petang yang menjadi acara penutupan kepada FSSM2019.

FSSM2019 telah menjadi platform pertemuan buat semua karyawan dan pihak yang terlibat dalam sektor seni budaya dan warisan di seluruh Malaysia  untuk mendapatkan idea-idea baru bagi merancakkan lagi serta memacu sektor industri budaya, warisan dan pelancongan untuk disepadukan sebagai salah satu bentuk ekosistem ekonomi dan perdagangan yang baharu hasil gabungan antara usaha melestarikan kandungan seni, budaya, warisan di samping usaha memupuk generasi muda bersekali dalam sektor terbabit. 

Selain dari itu, FSSM2019 turut menarik minat pelancong baik dari dalam mahupun luar untuk melihat budaya, seni dan warisan Malaysia dengan lebih dekat. Ini selaras dengan misi kementerian untuk memajukan pelancongan dan budaya di samping mengukuhkan, memelihara dan memelihara seni, budaya dan warisan. 

FSSM2019 juga adalah lambang sokongan padu MOTAC dan JKKN dalam menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2019 yang dipacukan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan sekaligus menjadi permulaan yang baik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang. 



1 comments: