Featured Post

Jom Gaya Hidup Sihat ~ Makan dan Exercise

Another chapter of my exercise diary .. hidup Misz-ella camni la .. kalau tak kerja, exercise. Kalau tak kat Event kat Gym. Tu je la tempat...

Norzira - Jatuh, Bangkit dan Bersinar Kembali

Dalam banyak-banyak cerita, Misz-ella paling suka dengar kisah benar tambahan lagi kisah penuh inspirasi yang turut menyuntik semangat di hati pendengarnya.

Norzira Syarini

Baru-baru ini Misz-ella berpeluang bertemu dengan Norzira Syarini, CEO Newsfeed Media dan mendengar perkongsian beliau tentang bagaimana beliau bangkit selepas jatuh dari sebuah kehidupan. Kebangkitan beliau lebih bermakna kerana beliau bukan sahaja berjaya mengubah taraf hidup beliau malah telah membantu usahawan-usahawan lain meningkatkan pendapatan.

Segala-galanya bermula apabila perkhidmatan kerja Norzira ditamatkan gara-gara kegawatan ekonomi. Malah beliau tidak mendapat apa-apa pampasan kerana perkhidmatan beliau adalah berdasarkan kontrak.

Kebuntuan, kesedihan, kesusahan serta tekanan kehidupan mendorong Norzira bangkit dengan mengambil arah yang berbeza iaitu mencabar diri membuka syarikat pemasaran beliau sendiri.


Berkongsi kisah penuh inspirasi tersebut, menurut Norzira beliau mula bekerja sebagai Deejay di Mydin Mall Kota Bharu sebaik sahaja menamatkan alam universiti. Selepas itu beliau menceburkan diri dalam bidang yang beliau sukai iaitu kewartawanan di sebuah syarikat penerbitan milik bumiputra terbesar di Malaysia dan kemudiannya bertukar arah dengan menjadi penerbit di sebuah agensi berita yang sangat dikenali di Malaysia. Malangnya, setelah tujuh tahun Norzira berbakti di syarikat tersebut, perkhidmatan beliau telah ditamatkan tanpa diberi apa-apa pampasan kerana agensi tersebut terpaksa mengecilkan operasi syarikat. 

Selepas itu, Norzira mendapat nafas baru apabila beliau diterima bekerja sebagai penyunting berita malangnya hanya bertahan selama dua tahun sahaja kerana peristiwa yang sama berulang, perkhidmatan beliau ditamatkan dalam tempoh 24 jam gara-gara syarikat tidak mampu lagi mempertahankan 'Malay desk' yang diketuai oleh beliau.

Bila peristiwa yang sama berulang lagi, Norzira merasa sangat tertekan ditambah pula dengan beliau mempunyai komitmen kewangan bulanan, ada bil dan tanggungjawab yang perlu saya selesaikan tiap-tiap bulan, kata Norzira.

Dalam keadaan kewangan yang semakin terhimpit, Norzira dan suami pernah mengeluarkan wang tabung yang hanya ada RM80.00 sahaja dan bergantung pada wang sebanyak itu bagi menampung perbelanjaan selama sebulan.

Tekanan demi tekanan melemahkan semangat Norzira. Hari-hari beliau bersedih bimbangkan masa depan namun beliau bagai mendapat nafas baru apabila diberi suntikan semangat oleh suami beliau yang membuatkan beliau yakin yang beliau boleh bangkit dari kejatuhan dan bersinar semula.


Pada 4/12/2019, Norzira membuka portal berita beliau sendiri iaitu Newsfeed Malaysia. Meskipun syarikat masih belum kukuh, Norzira mengambil keputusan membuka Newsfeed Enterprise sebulan selepas perniagaan pertama beliau ditubuhkan. Kali ini Norzira tampil dengan strategy yang berbeza iaitu menawarkan perkhidmatan pemasaran secara 'off-line'. Beliau bekerjasama dengan agensi untuk mendapatkan pengusaha yang mahu memasarkan produk mereka di TV dan radio. Berbekalkan pengalaman pernah menjual iklan di majalah tempatan suatu ketika dahulu dan bermula dengan hanya seorang pekerja, Norzira tidak menoleh ke belakang lagi. 

Dalam masa yang singkat iaitu 10 bulan, Norzira telah membantu 100 orang pengusaha meningkatkan jualan dengan menggunakan stesyen televisyen dan radio sebagai platform untuk memasarkan produk mereka. Hingga ke hari ini, Newsfeed Enterprise telah berjaya mengumpul 'trusted transfer' sebanyak RM6 juta dalam masa hanya 10 bulan malah bilangan pekerja juga telah bertambah ke 13 orang.


Norzira bersama keluarga

Norzira turut kongsikan dengan Misz-ella bagaimana beliau mengambil inisiatif untuk menghadiri kursus-kursus yang berkaitan dengan skop kerjanya seperti 'branding' dan 'video marketing'. Norzira percaya pada konsep 'Dengan ilmu beliau mampu membantu lebih ramai pengusaha produk mencapai sasaran jualan yang dikehendaki'. Selain dari itu Norzira turut percaya kepada konsep keberkatan rezeki itu adalah apabila kita sentiasa mendapat restu ibu dan bapa dalam apa juga yang kita lakukan dan yakinlah pada rezeki Allah  SWT. Saya tak pernah hampakan permintaan mak dan abah meskipun pada waktu itu saya sedang susah. Apapun yang berlaku, mereka tetap keutamaan saya, kata Norzira



Kejayaan yang dicapai Norzira membuatkan beliau lebih bersemangat untuk membantu lebih ramai pengusaha memasarkan produk mereka di tahun 2021 nanti. Norzira turut berimpian untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka-mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini.


Misz-ella kagum dengan semangat juang tinggi yang dimiliki oleh Norzira. Jatuh, bangun, jatuh lagi, bangun lagi dan kali ini beliau bukan sahaja berjaya keluar dari masalah yang membelenggunya malah berjaya membantu pelanggan-pelanggan beliau juga. Buat mereka yang sedang mengalami masalah yang sama, apa yang kita pelajari dari Norzira adalah, tiada yang mustahil jika kita sematkan impian serta berusaha dengan kuat tiada usaha yang terlepas dari pandangan Allah SWT. Buat Norzira, Terima Kasih kerana sudi berkongsi kisah penuh inspirasi ini bersama misz-ella.blogspot.com. 










1 comments:

irdagarmin said...

saya suka baca cerita2 begini.rasa termotivasi..keep on sharing..tq